Bicara kes rasuah Zahid bersambung tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan ke tahun hadapan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan prosiding ditangguhkan selepas membenarkan permohonan peguam bela Hisyam Teh Poh Teik dan menetapkan selama 21 hari bermula 16 Januari tahun hadapan bagi sambung bicara.

Terdahulu Hisyam memohon supaya tarikh perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan sementara menunggu rayuan pembelaan untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diputuskan Mahkamah Rayuan pada 14 November ini.

Menurut Hisyam, keputusan itu penting bagi membantu pihak pembelaan dalam menentukan jumlah dan urutan saksinya yang akan dipanggil memberikan keterangan.

"Kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami dibenar mendapatkan pernyataan saksi atau sebaliknya. Kami dalam dilema,'' katanya.

Dalam pada itu, Hisyam memaklumkan bahawa seorang saksi pembelaan daripada Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak hadir kerana tidak sihat.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak membantah penangguhan prosiding berkenaan.

Prosiding hari ini sepatutnya bersambung dengan mendengar sesi soal balas saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).


LihatTutupKomentar