Memiliki pakej yang lengkap, Nur Farah Najihah Rosmi atau lebih dikenali sebagai Farah Rose,kini mula menempa nama seangkatan bakat muda generasi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang semakin menguasai industri seni hiburan.
Bakat ‘Dihidu’ Eddie Hamid.
Mempertaruhkan single pertama nya berjudul Lagu Ceritaku, penyanyi kecil molek ini mula menjinakkan diri di dalam bidang nyanyian sejak kecil lagi. Dengan bakat yang dimiliki, Eddie Hamid telah ‘melamarnya’ untuk merakamkan lagu setelah tertarik dengan kelunakan suara Farah ketika komposer terkenal itu berada di tempat kelahirannya, Pulau Langkawi empat tahun yang lalu.
Berkongsi pengaIamannya, Farah yang pernah menyertai pertandingan Bintang Kecil suatu ketika dahulu akui bukan senang untuk menjadi seorang penyanyi. Namun, dia menganggapnya sebagai satu pengalaman yang manis untuk dikenang.
“Ini adalah kali pertama saya membuat rakaman lagu di NAR Records. Saya rasa ini adalah pengalaman yang baru kerana saya tidak pernah rakam sebarang lagu dan tidak menjangka sebenarnya ia sukar berbanding apa yang dilihat. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya.
“Proses merakamkan lagu tersebut mengambil masa dalam 4 hingga ke 5 jam juga kerana kita nak pastikan emosi saya sampai dalam setiap bait lirik. Dekat situ, baru saya tahu susah sebenarnya nak jadi penyanyi.
“Sebelum ini saya banyak buat cover dan persembahan secara langsung kerana sejak kecil lagi saya sering dijemput untuk buat persembahan di pelbagai acara. Saya pernah masuk pertandingan bintang kecil anjuran RTM semasa tahun 2010 dan 2011. Ketika itu, saya menjadi juara bintang kecil di Langkawi dan tempat ketiga bagi Zon Utara. Ibu-bapa yang banyak beri galakan kepada saya kerana mereka lihat saya berpotensi sejak kecil lagi” kongsi Farah.
Juruterbang Wanita Pertama Di Malaysia Bergelar Penyanyi.
Di sebalik perwatakannya yang lemah lembut, siapa sangka penyanyi berusia 22 tahun ini mempunyai kelulusan sebagai seorang juruterbang dari HM Aerospace Langkawi.
Malah, anak bongsu daripada lima beradik ini juga hanya menunggu masa untuk berkhidmat di syarikat penerbangan. Lantaran itu, dia mengambil peluang serta masa yang ada untuk mengembangkan lagi bakat nyanyiannya dan berhasrat untuk dikenali sebagai seorang juruterbang yang serba boleh.
“Saya baru sahaja tamat pengajian di sekolah penerbangan dengan melengkapkan 200 jam penerbangan pada Disember 2021.
“Saya tak nafikan cita-cita untuk menjadi juruterbang sejak kecil apatah lagi turut didorong oleh keluarga dan abang saya juga seorang juruterbang. Bila semakin meningkat dewasa, saya lihat tidak ramai juruterbang dikalangan wanita jadi saya rasa kenapa tidak saya teruskan cita-cita itu supaya lebih ramai wanita berminat dengan kerjaya ini.Namun dalam masa yang sama turut meminati bidang nyanyian” katanya
Ketika ditanya mengenai keutamaan karier termasuk pembahagian masanya, Farah sudah bersedia dengan kekangan masa yang bakal dihadapi malah mempunyai strategi tersendiri untuk menempa nama dan mencapai cita-citanya.
“Saya akui kehidupan sebagai seorang juruterbang sebenarnya agak sibuk tetapi sebenarnya ia fleksibel kerana kita boleh atur jadual penerbangan. Jadi, saya percaya saya boleh bahagikan masa sebagai penyanyi dan juruterbang ke./lak” katanya lagi
Farah ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya di Hotel Goldsands Langkawi pada Selasa. Dalam majlis itu, turut diserikan dengan kehadiran komposer lagu tersebut, Eddie Hamid serta penyampai radio paling dipercayai 2021 , Dj Lin.
Lagu dan video muzik Ceritaku ciptaan Puteri Yana dan Eddie Hamid serta lirik yang ditulis Hakimi Hakim dan Arisz Abd.Rahman itu kini boleh dilayari di semua platform digital. Menariknya juga, lagu tersebut turut dipilih menjadi antara lagu tema drama bersiri Honeymoon yang bakal ditayangkan di Slot Dahlia, TV3.
Sumber: Muraimy