Ibu tunggal tiga anak maut digilis lori

PETALING JAYA – Perjalanan pulang seorang ketua jururawat pergigian sebuah hospital swasta ke rumahnya berakhir dengan tragedi selepas dia maut digilis sebuah lori tiga tan di Lebuh Raya Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kawan baik mangsa ketika berkongsi mengenai kejadian itu di Facebook menjelaskan, nahas berpunca apabila motosikal yang ditunggang mangsa dilanggar sebelum dia digilis kenderaan berat tersebut.

Menurut @PuteriPutput, arwah Wan Nurfarahin Mohd. Radzi merupakan ibu tunggal dan mempunyai tiga anak yang masih kecil.

“Saya amat terkejut dan sedih dengan pemergian arwah. Arwah Farahin seorang rakan yang sangat baik dan sentiasa ada disisinya di saat susah dan senang.

“Farahin sanggup menunggang motosikal walaupun sedang mengandung semata-mata mahu mengirim hadiah sempena hari lahir bayinya. Kami bercadang untuk berjumpa dan melepaskan rindu (tetapi tidak kesampaian),” katanya.

Bekas suami arwah dikenali sebagai Muhammad Basyer Roslee turut mengucapkan takziah dan bersedih atas pemergian Wan Nurfarahin.

Basyer turut mengakui terlalu banyak kenangan bersama arwah yang tidak dapat dilupakannya dan berjanji akan menjaga tiga zuriat mereka sebaik mungkin.

“Saya maafkan awak dari hujung rambut hingga hujung kaki. Banyak kenangan yang tidak dapat dihuraikan, mungkin ini dah ditakdirkan..tenang lah disana,” tulisnya. – K! ONLINE
LihatTutupKomentar