Budak lima tahun maut terjatuh tingkat 16 kondominium


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil di tepi tingkap.

“Ketika kejadian, mangsa dalam jagaan ibu saudaranya. Kita percaya mangsa terjatuh daripada tingkap kediaman mereka.

“Siasatan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis daerah Gombak,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, kerana ada kaitan dengan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Kejadian itu juga adalah yang kedua berlaku membabitkan kanak-kanak jatuh dari kondominium di Lembah Klang, dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini.

Kejadian dilaporkan kepada pihak polis pada jam 2.41 petang selepas mayat mangsa ditemui seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor di tingkat lapan kondominium terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dipetik sebagai berkata ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 35 tahun keluar untuk membeli barang dan mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan dalam keadaan pintu rumah berkunci.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).



Sumber : malaysianews
LihatTutupKomentar