PN rampas Padang Serai, tewaskan PH majoriti 16,260 undi

  


PADANG SERAI: Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilangsungkan siang tadi.

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Pertembungan enam penjuru di kerusi berkenaan turut membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraajh, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Hamzah Abd Rahman; calon Parti Warisan (WARISAN), Mohd Bakhri Hashim dan calon Bebas, iaitu Sreanandha Rao.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi dan Sivaraj yang memberi laluan kepada calon PH berjaya meraih 2,983 undi.

Tiga lagi calon, Hamzah memperoleh 424 undi, Mohd Bakhri pula mendapat 149 undi, manakala Sreanandha dengan 846 undi.

Selain Sivaraj, Mohd Bakhri juga sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan dan menyokong calon PH, namun berdasarkan peraturan pilihan raya, nama mereka kekal pada kertas undi kerana pencalonan telah disahkan.

Peratus pengundian bagi Parlimen adalah sejumlah 68.95 peratus, menjadikan keseluruhan peratusan pengundian bagi Dewan Rakyat setelah selesai urusan PRU15 sepenuhnya pada hari ini adalah 74.71 peratus.

Azman adalah bekas guru dan mesra dipanggil Cikgu Man, juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas selama dua penggal sejak memenanginya pada PRU13 dan mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU14 atas tiket PKR.

Dalam peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan kerajaan pusat bertukar daripada PH kepada PN, beliau turut meninggalkan PH dan membentuk kerajaan negeri PN bersama-sama ADUN PAS, UMNO dan BERSATU ketika itu.

Beliau juga kini Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah.

PRU15 di Padang Serai yang sepatutnya berlangsung pada 19 November lalu ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding, iaitu M Karupaiya, 69, penyandang kerusi daripada PH, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Parlimen Padang Serai yang sebelumnya dinamakan Kulim Utara sehingga PRU 1974, mula dimenangi PKR pada PRU 2008 melalui N Gobalakrishnan yang menyandang kerusi itu selama dua penggal.

Penguasaan PKR kemudian teruskan oleh N Surendran pada PRU 2013 dan seterusnya oleh mendiang Karupaiya pada PRU 2018.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan selesainya PRU15 hari ini, penguasaan parti-parti atau blok parti mengikut logo digunakan pada PRU15, didahului PH yang secara keseluruhannya kini menguasai 76 kerusi di Dewan Rakyat.

Ia diikuti PN dengan 52 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23), PAS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6) dan DAP (5).

Selain itu, WARISAN (3), Bebas (2), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (1), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (1) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (1).

Sumber :Bhonline

LihatTutupKomentar