Enggan galas status artis, Ashira Aziz umum undur diri, “Maafkan saya kerana tidak meneruskan perjalanan kerjaya seni,” katanya.


 Ingin kehidupan tanpa dibayangi perhatian, penyanyi Ashira Aziz nekad mengundurkan diri dari kehidupannya sebagai figura umum.

Mengumumkan perkara itu melalui media sosialnya, Ashira meminta agar semua peminat menghormati keputusannya.

Katanya, dia akan menyimpan segala kenangan manis di lubuk hati yang paling dalam.

“Masanya sudah tiba dari tahun 1999 hingga 2022. Satu pengembaraan mencabar dalam hidup saya.

“Masa untuk tutup buku sekarang dan mulakan yang baru. Tolong hormat keputusan saya.

“Biarkan saya dengan kehidupan sendiri bersama anak dan keluarga tanpa perhatian umum.

“Saya, Ashira Aziz mengundur diri. Selamat tinggal kawan-kawan,” katanya.

Ashira, 38, kembali aktif menyanyi di pusat hiburan selain diundang mengadakan persembahan hingga ke luar negara termasuk di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu walaupun lama menyepi dari radar industri tempatan.


Pemilik nama penuh Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz itu kembali disebut-sebut selepas penyanyi berkenaan menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada 2020.

Bukan setakat itu, kehidupan peribadi Ashira turut menjadi perhatian selepas dia mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdullah atau Bad.

Bad juga peserta program GV7.

Ikatan perkahwinan mereka terlerai sekitar Jun lalu selepas mereka sepakat memilih jalan perpisahan.

Malaysiakini juga pernah melaporkan, Bad memohon orang ramai berhenti mengecam bekas isterinya itu yang kononnya meninggalkan dia kerana tiada kaki.

Pada masa sama, penyanyi lagu Di Ombak Resah itu memberitahu, dia menghormati sekiranya ada dalam kalangan peminat yang ingin berhenti mengikutinya di Instagram.

“Bagi saya ruang, saya okay. Tak kisah jika ada yang mahu berhenti mengikuti saya di media sosial.

“Terima kasih kepada semua peminat yang memberikan sokongan.

“Maafkan saya kerana tidak meneruskan perjalanan kerjaya seni,” katanya.

LihatTutupKomentar