Dana PAS dari penyumbang 'tin Milo', kata MP Kuala Terengganu,, “Duit PAS adalah daripada kocek ahli-ahli kami sendiri,” kata Ahmad Amzad.

 


Pada sebuah acara baru-baru ini untuk mengiktiraf usaha petugas pilihan raya, ahli parlimen PAS Ahmad Amzad Hashim mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyumbang kepada "tin Milo" bagi membantu membiayai aktiviti dan program parti.

Merujuk kepada sumbangan ahli PAS, ahli parlimen Kuala Terengganu itu berkata semua aktiviti dan program itu dapat dilaksanakan kerana sumbangan "tin Milo".

"Jika ditanya dari mana PAS memperolehi dana bagi melaksanakan setiap aktiviti dan program, kami tidak malu untuk menyatakan bahawa ianya adalah daripada ‘tin Milo’ ahli-ahli kami.

“Duit PAS adalah daripada kocek ahli-ahli kami sendiri,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Ahmad juga menyifatkan prestasi cemerlang PAS dalam pilihan raya sebagai "manifestasi keinginan rakyat untuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil dengan Islam menjadi panduannya."

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, PAS yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), muncul sebagai pemenang terbesar dengan lebih 40 kerusi parlimen.

Bagaimanapun, PN gagal membentuk kerajaan berikutan kebuntuan politik yang berpunca daripada parlimen tergantung.


Perbelanjaan pilihan raya PN juga menimbulkan pertikaian, dengan pelbagai pihak menggesa siasatan tentang bagaimana gabungan baru yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin mempunyai akses kepada dana sedemikian.

SPRM juga sedang menyiasat bekas perdana menteri dan pentadbirannya berhubung dakwaan penyelewengan dana awam untuk menangani pandemik Covid-19.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, mendakwa hasil perjudian mungkin digunakan untuk membiayai aktiviti kempen PRU. Anwar bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti.

Walaupun tidak menyebut nama parti atau ahli politik, Anwar dipercayai merujuk kepada PN.

Susulan itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PN akan mempertimbangkan untuk menyaman perdana menteri sekiranya dia gagal mengemukakan bukti.

Sementara itu, Ahmad berkata kejayaannya menang di Kuala Terengganu adalah atas pengorbanan semua pihak yang bekerja tanpa jemu.

“Tanpa sokongan, dorongan serta pengorbanan para amilin ini, ditambah dengan usaha yang tidak mengenal erti penat lelah dan jemu sepanjang masa berkempen, dan dengan munajat serta keyakinan pertolongan Allah bersama kita, mana mungkin kita mampu memperolehi kemenangan dengan majoriti sebanyak 40,907 undi,” katanya.

LihatTutupKomentar