Anita Jaafar pergi tanpa sepatah kata, 21 hari koma

Kuala Lumpur: Bintang filem The Last Cannibal World, Anita Jaafar, 71, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, jam 10.55 pagi akibat jangkitan kuman dalam badan.

Anaknya, Farina Jervoso mengesahkan berita pemergian bintang filem era 1970-an itu kepada BH Online.

Farina berkata, arwah ibunya dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 23 November lalu selepas batu dalam hempedu pecah.

"Belum sempat dikeluarkan, batu dalam hempedu pecah menyebabkan ia bernanah dan kuman mula merebak ke seluruh badan.

"Arwah dikejarkan ke HCTM dan ditempatkan di ICU. Keadaannya semakin kritikal dan doktor terpaksa ditidurkan.

"Beliau tidak sedarkan diri. Selepas genap 21 hari berada di hospital, arwah pergi meninggalkan kami, pagi ini," katanya kepada BH Online.

Sebagai anak, Farina berkata, tidak ada apa yang lebih menyedihkan apabila melihat ibunya pergi tanpa sepatah kata.

"Arwah memang tak sedarkan diri selepas dimasukkan ke hospital sehinggalah menutup mata.

"Sebagai anak, sudah tentu saya sedih kerana kita hanya boleh melihat dan memegangnya, tetapi apa sahaja perbuatan kita tidak mendapat maklum balas daripadanya.

"Arwah pergi dengan tenang di sisi anak-anak dan ahli keluarga lain," ujar Farina.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di HCTM sebelum dibawa ke Masjid Taman Kosas, Ampang disolatkan.

"Untuk mereka yang ingin menziarah arwah bolehlah datang ke Masjid Taman Kosas. Lokasi pengebumian akan dimaklumkan kemudian.

"Insya-Allah, jenazah arwah akan disemadikan selepas waktu Asar," katanya.

Allahyarham Anita meninggalkan sembilan cahaya mata, 13 cucu dan seorang cicit.

Sepanjang hayatnya, arwah yang cukup popular sekitar 1970-an pernah membintangi filem Malaysia 5, Detik 12 Malam, Penyamun Si Bongkok, Boneka Permata, Kelana dan Semambu Kuning.

Anak kepada pelakon R Suriani dan bekas sub-editor, Jaafar Mohd Ali itu pernah melakar sejarah dalam kerjaya lakonannya apabila membintangi filem seram terbitan produksi, Itali berjudul The Last Cannibal World arahan Ruggero Deodato pada 1977.


LihatTutupKomentar