Wanita maut dilanggar lari.

Sibu: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan suspek kes langgar lari yang mengakibatkan seorang wanita maut di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, setakat ini suspek belum dikenal pasti. 

Menurutnya, dalam kejadian jam 5.18 pagi itu, motosikal yang ditunggang mangsa berusia 38 tahun bergerak lurus menuju ke arah lampu isyarat Jalan Salim. 

"Ketika di tempat kejadian mangsa dipercayai dilanggar lari oleh kenderaan yang tidak diketahui jenisnya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans Hospital Sibu. 

"Kita memohon individu terbabit dalam kes ini tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. "

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Din Jumit di talian 013-8297707," katanya. 

Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Sumber - HMetro . 
LihatTutupKomentar