Bagai mencurahkan air ke daun keladi dan itulah perumpamaan yang sesuai diberikan kepada usahawan kontroversi Datuk Seri Alifff Syukri. Mana tidaknya, segala kritikan, cemuhan dan makian yang diberikan oleh ramai tidak mendatangkan hasil terutama nyanyiannya yang disamakan seperti katak memanggil hujan.
Ini tidak terkecuali kenyataan kesal yang dilemparkan Datuk Awie mengenai kehadiran usahawan tersebut yang dingin mencuba nasib sebagai penyanyi.
Tak kisah kritikan ramai, Aliff sekadar mahu warnai industri hiburan je…
Terbaharu, usahawan dan personaliti media sosial itu mendedahkan dirinya tidak pernah mengambil peduli dengan apa jua pendapat yang dilontarkan oleh penyanyi rock tersebut sebaliknya mahu memeriahkan industri seni hiburan sahaja.
Menurut Aliff, penyanyi otai tersebut sudah menempuhi zaman kegemilangan sebagai bintang rock dan sepatutnya memberi peluang kepada individu lain untuk turut sama menceburi dunia nyanyian.
“Kepada Datuk Awie, I love you, I peminat setia you, you dah ada zaman kegemilangan you walaupun sebagai penyanyi rock sampai sekarang.’ujarnya.
Datuk Awie, jom kita duet bersama!
Dalam pada itu, usahawan berusia 35 tahun itu sempat memperlawa dengan nada sinis kepada Datuk Awie untuk berkolaborasi bersama dalam penghasilan lagu baharu pada masa akan datang.
“Ini tahun 2022, semua orang berhak berkarya, mempamerkan bakat. Jadi, saya sebagai peminat Datuk Hattan, Awie.
“Alhamdullilah, lagu saya trending dan saya teringin berduet dengan you. I rasa kalau berduet dengan you mungkin trending sebab saya kan artis nombor satu. Mana tahu dia nak berduet dengan saya,”kata Aliff dengan yakin.
Mereka kritik sebab cemburu dengan saya – Aliff
Selain itu, Aliff menyifatkan mereka yang seringkali meninggalkan kata-kata nista itu sebenarnya cemburu melihat kejayaan dan bakat yang dimilikinya.
Malah, anak kepada pengasas kosmetik pengasas kosmetik Sendayu Tinggi dan Jamu Ratu Malaya, Rozita Ibrahim memberitahu dirinya tidak pernah meminta sesen duit daripada orang ramai bagi mengeluarkan lagu baharunya itu.
“Sebenarnya mereka itu cemburu sebab tak trending. Mereka cemburu sebab mereka tiada suara sedap seperti saya. Itu saja mereka cemburu.
“Saya tak minta orang keluarkan lagu saya. Mereka yang kutuk-kutuk saya pun, saya punya pendapatan sampingan buat lagu ini cecah puluh-puluh ribu.
“Jadi, mereka nak kutuk-kutuk saya ini, saya tak kisah apa orang cakap sebab saya tak minta duit mereka dan saya tak minta derma duit mereka buat lagu ini,”ujarnya.
Menariknya, Aliff mendedahkan dirinya ditawarkan oleh syarikat rakaman luar negara namun terpaksa diketepikan kerana menganggap kerjaya nyanyian hanyalah sekadar hobi dan pekerjaan sampingan.
Terdahulu, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 54, mengkritik dan meluahkan kekecewaan apabila industri seni ‘dilacurkan’ oleh segelintir usahawan yang cuba memasuki dalam dunia nyanyian.
Sumber: mStar