Tajaan perkahwinan Mas Idayu, Sufian cecah RM7 juta

  


KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut sensasi, Mas Idayu, 50, mendedahkan majlis perkahwinannya dan Penerbit Eksekutif di stesen TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, mendapat tajaan mencecah RM7 juta.

Memilih Hari Malaysia pada 16 September ini sebagai detik bersejarah, acara akad nikah dan majlis resepsi bakal berlangsung di Magica Quill City Mall.

Lebih mengujakan, majlis resepsi bertemakan dongeng dan fantasi bakal mencipta rekod Malaysia Book Of Records.

"Sejujurnya, saya tidak menyangka perkahwinan kali kedua dikurniakan rezeki tajaan dianggarkan mencecah RM7 juta berbentuk barang kemas, tajaan lokasi dan busana perkahwinan.

"Boleh dikatakan, perkahwinan kali ini lebih memberi bahagia berbanding pertama.

"Saya dapat merasai sesuatu yang tidak pernah dirasai sejak 15 tahun lalu.

"Dahulu, pra perkahwinan pun tiada, apatah lagi, majlis persandingan. Sekarang, saya rasa seolah-olah berkahwin buat kali pertama," katanya kepada BH Online.

Mas Idayu atau nama sebenarnya, Masidayu Mesnun berkata, pemilihan tarikh perkahwinan pada Hari Malaysia tiada simbolik tertentu.

"Tarikh nikah bukan saya pilih, tetapi bakal suami. Pada mulanya Sufian cakap nak kahwin Mei lalu.

"Namun, masa itu, jarak masa terlalu dekat dan terburu-buru.

"Akhirnya, Sufian pilih 16 September. Saya jenis tak ingat tarikh istimewa, jadi mungkin lebih mudah ingat apabila tarikh pernikahan jatuh pada Hari Malaysia.

"Namun, tiada simbolik tertentu. Insya-Allah, acara akad akan berlangsung, jam 9 pagi dan diikuti majlis resepsi pada sebelah malam," katanya.

Mas Idayu mendedahkan tajaan perkahwinan mencecah RM7 juta ketika sidang media pra perkahwinan Mas Idayu di sebuah premis acara di Taman Segar, Cheras, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Mas Idayu mendedahkan tajaan perkahwinan mencecah RM7 juta ketika sidang media pra perkahwinan Mas Idayu di sebuah premis acara di Taman Segar, Cheras, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mengulas tajaan diterima, Mas Idayu hanya mampu memanjat kesyukuran.

"Saya tak terlalu fikir soal jumlah tajaan. Apapun, saya bersyukur atas rezeki kurniaan Tuhan.

"Apa yang lebih saya fikir ialah kehidupan dan tanggungjawab selepas berkahwin. Selepas sekian lama tiada teman hidup dan tak percaya ikatan perkahwinan, akhirnya Allah buka hati saya.

"Saya pun tak sangka soal perkahwinan jadi tular apabila Sufian memuatkan hantaran kami berbuka puasa dalam IG. Saya ini bukanlah siapa-siapa," katanya yang ditemui dalam sidang media pra perkahwinan bersama Mas Idayu di sebuah premis acara di Taman Segar, Cheras, hari ini.

Pada majlis sama, Mas Idayu mengumumkan produk kecantikan berasaskan nano emas, Twenty.

Terdahulu, Mas Idayu juga penyanyi lagu Cintaku 100% pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Aman Graseka pada 1997, namun, bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Dayini Ashiqah, 25 tahun.

sumber : bharian

LihatTutupKomentar