Penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh abang iparnya, empat tahun lalu.
Hakim Dr Alwi Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Aldin Tawasil, 26, selepas pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah sepanjang prosiding berlangsung.
Tertuduh yang berpakaian serba putih kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya.
TERTUDUH, Aldin Tawasil, 26, diiring anggota polis selepas dijatuhkan hukuman.
Alwi dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam keterangannya memaklumkan menikam mangsa kerana berang selepas mengetahui adik perempuannya dirogol mangsa.
“Walaupun dalam keterangan tertuduh yang mengemukakan bukti sebagai tindakannya adalah untuk mempertahankan diri, namun tertuduh didapati tidak mengalami sebarang kecederaan berbanding simati yang mempunyai 13 kesan tikaman.
“Malah, tertuduh juga bertindak mengejar dan menikam mangsa yang cuba lari menyelamatkan diri dan ini menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh.
“Mengambil kira keterangan menyeluruh dalam kes ini, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” katanya.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam bela Liew Hon Min.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) didakwa membunuh abang iparnya Ronston Tunai, di Kampung Sabah Baru, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu, kira-kira jam 3 petang pada 16 Jun 2017.
Sementara itu, ibu dan ahli keluarga tertuduh yang menunggu di luar bilik bicara mahkamah tidak dapat menahan emosi apabila permintaan mereka untuk memeluk dan mencium tertuduh buat kali terakhir tidak dibenarkan anggota polis bertugas.
Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/766688/bunuh-abang-ipar-penganggur-digantung-sampai-mati-metrotv