TANAH MERAH: Seorang anggota tentera maut apabila kereta dipandunya merempuh pokok selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Kusial Baru, hari ini.
Dalam kejadian 8.45 pagi, mangsa Muhammad Asyraf Romli, 22, maut di lokasi kerana cedera parah di badan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Kusial Baru menghala ke Kampung Batu Hitam.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang memandu kereta Proton Wira dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kawasan semak di bahu kanan jalan.
“Kereta itu kemudian naik kembali ke atas jalan menghala ke arah lori, namun pemandunya gagal mengelak lalu berlaku perlanggaran menyebabkan Proton Wira itu berpusing serta melanggar sebatang pokok,” katanya.
Wan Zulfikri berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Malaysia News | All Rights Reserved 2022