TANAH MERAH – Seorang warga emas sempat membelikan sarapan terakhir untuk keluarganya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Batu 3, Kampung Belimbing, di sini.
Sebelum kejadian pada jam 9.45 pagi itu, mangsa, Zakaria Seman, 77, dari Batu 2/5, Bukit Merah menghantar laksa yang dibeli untuk sarapan pagi isterinya yang mengalami angin ahmar.
Zakaria kemudiannya keluar semula untuk minum di kedai yang terletak 10 meter dari jalan utama.
Kemalangan berlaku selepas warga emas berkenaan selesai bersarapan dan mahu pulang ke rumahnya.
Motosikalnya berlanggar dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas.
Anak bongsu mangsa, Nurbalaili Zakaria, 30, berkata, mereka sekeluarga mendapat tahu mengenai kejadian tersebut daripada orang ramai yang berada berhampiran kedai arwah bapanya bersarapan.
“Orang kampung menghubungi kakak saya memaklumkan kejadian itu sebelum saya dan suami bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati arwah ayah terbujur di tengah jalan.
“Hanya ALLAH sahaja yang tahu luluhnya hati saya namun saya kuatkan jua untuk melihat keadaan ayah. Ketika itu ayah sudah tiada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, di sini.
Menurut anak bongsu daripada lapan beradik itu, dia bertemu arwah bapanya ketika keluar bersama semalam.
Katanya, arwah bapanya seorang yang peramah dan sentiasa mementingkan keperluan anak-anaknya.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh dan sentiasa ceria. Setiap pagi memang menjadi rutinnya membeli sarapan pagi untuk kami kerana emak menghidap sakit angin ahmar dan tidak mampu berjalan,” katanya.
Nurbalaili berkata, mereka sekeluarga belum memaklumkan perkara itu kepada ibunya kerana tetapi berharap ibunya dapat menerima ketentuan ALLAH itu.
“InsyaALLAH, semoga semuanya selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Mat Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Malaysia News | All Rights Reserved 2022